PARIS: Kapten dan pertahanan legenda Real Madrid, Sergio Ramos akhirnya sah menjadi milik gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) apabila menandatangani kontrak dua tahun hari ini.
Ramos, 35, yang membawa Real merangkul empat kejuaraan Liga Juara-Juara, selain satu Piala Dunia dan dua Piala Eropah bersama Sepanyol adalah nama besar terbaharu yang dibawa masuk PSG selepas
bintang Belanda, Georginio Wijnaldum dari Liverpool dan pemain pertahanan Maghribi, Achraf Hakimi dari juara Itali, Inter Milan.
Pemain veteran itu yang mencipta rekod Eropah dengan 180 cap serta menjaringkan 23 gol untuk negaranya tiba di PSG dengan misi membantu mereka merangkul kejuaraan Eropah pertama.
PSG yang turut turut dikaitkan dengan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma berharap pelaburan hebat mereka akan meyakinkan penyerang Perancis, Kylian Mbappe menyambung kontraknya yang akan tamat pada 2022.
“Ini peluang besar dalam hidup saya, cabaran baharu dan hari yang tidak akan dilupakan.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada projek bercita-cita tinggi ini dan menyertai pasukan yang memiliki ramai pemain hebat,” kata Ramos menerusi kenyataan dikeluarkan PSG. – AGENSI