LONDON: Tidak seperti perlawanan lain, pertembungan England-Itali sukar dijangka, malah tiada pasukan boleh dianggap pilihan dalam final di Wembley esok.
England dan Itali mara ke perlawanan akhir dengan rekod tanpa kalah.
Jika Azzurri turun bersama reputasi juara dunia empat kali dan juara Eropah 1968, Three Lions pula menjuarai Piala Dunia 1966 dan berada di ranking keempat dunia berbanding lawan mereka – 10.
Anak-anak buah Gareth Southgate memulakan kempen Euro 2020 dengan aksi ‘lemau’ tetapi memasuki ‘gear 5’ sebaik saja melangkah ke peringkat kalah mati, terutama selepas menumpaskan Jerman 2-0 dan membelasah Ukraine 4-0.
Itali menyerlah di peringkat kumpulan, namun bergelut ketika menyingkirkan Sepanyol menerusi penalti di separuh akhir.
Kecederaan bek kiri, Leonardo Spinazzola ketika bertemu Belgium di suku akhir menyebabkan mereka hilang sedikit kreativiti.
Trio Itali, Marco Verratti, Nicolo Barella serta Jorginho amat menyinar, namun Declan Rice dan Kalvin Phillips membentuk gandingan menakjubkan buat England.
4-2-3-1 SEKAT BAHAGIAN TENGAH ITALI
SOUTHGATE sering bertukar formasi 3-4-3 dan 4-2-3-1 sepanjang Euro. Taktikal 3-4-3 berkesan ketika menewaskan Jerman, namun untuk bertemu Itali, dia mungkin kembali kepada empat pertahanan.
Kekuatan Itali bukan serangan tapi kemampuan mengawal tengah padang menerusi Jorginho, Verratti dan Barella. Jika England dapat membataskan trio tersebut, kreativiti Azzurri sedikit lumpuh.
MENYERANG DARI SAYAP
ENGLAND gemar melancarkan serangan dari sayap atau terus dari pertahanan menerusi Luke Shaw.
Kebanyakan jaringan mereka terhasil daripada gerakan tersebut.
Hanya 23 peratus England menyerang dari tengah, iaitu kelima terendah di Euro 2020. Rice atau Phillips kurang mahir melancarkan hantaran progresif tapi bagus dalam mematahkan permainan lawan.
Tugas serangan digalas oleh Raheem Sterling, Bukayo Sako dan Mason Mount dengan Harry Kane menanti di depan.
SASAR KE ARAH EMERSON
KEBANYAKAN serangan Itali sebelum ini hadir menerusi Spinazzola.
Ketiadaannya memberi kesan buat Azzurri, apatah lagi Emerson gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan dengan baik.
Bahagian kiri kini menjadi bahagian paling lemah Itali dan akan digunakan sepenuhnya oleh England sebagai ‘lubuk’ serangan.
SAKA MAMPU CIPTA GERAKAN HIBRID
JIKA Saka dapat digunakan dengan maksimum dan berada pada prestasi terbaik, bintang remaja Arsenal itu mampu memberi ancaman di sayap kanan tidak kira formasi 4-2-3-1 atau 3-5-2 digunakan oleh England.
Hantaran Kyle Walker kepada Sako mampu menghasilkan gerakan sempurna.
Jika Itali melancarkan serangan balas, kebanyakannya menerusi Federico Chiesa dan Shaw akan menjadi ‘sasaran’.
Harry Maguire perlu mengendurkan kelajuan dan Walker memiliki kepantasan untuk membantu.