PETALING JAYA: Kontinjen Sukan Paralimpik Malaysia memberi bayangan pencapaian bersejarah tiga pingat emas dan satu perak yang diraih di Rop 2016 mungkin mampu diatasi di Tokyo 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jangkaan tersebut hadir selepas melihat persiapan, perkembangan dan prestasi yang ditunjukkan atlet para negara sepanjang tahun ini.
“Melihat kepada perkembangan dan prestasi yang ditunjukkan atlet para, ada petanda awal yang boleh menjadi tanda aras bahawa rekod yang kita lakukan ketika di Rio mungkin boleh diperbaiki pada Sukan Paralimpik di Tokyo.
“Saya optimis dengan persiapan dan keseungguhan (atlet) di samping prestasi yang ditunjukkan dalam tempoh setahun ini. Insya-Allah paralimpik juga jadi penyumbang, bukan saja pingat emas yang kita dapat di Rio, malah lebih dari itu.
“Paling penting adalah persiapan mereka dan juga aspek keselamatan yang sentiasa saya tekankan perlu dijaga supaya mereka benar-benar dapat beraksi dan menyumbang pingat kepada negara di Tokyo.
“Insya-Allah tunggu dalam sehari, dua lagi sebelum saya melakukan pengumuman sasaran pingat dari Sukan Olimpik dan Paralimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan turun padang ‘Demi Malaysia’ bagi meninjau persiapan fasa akhir atlet para negara yang akan bertanding pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.
Pada sesi lawatan yang turut disertai Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Reezal menyatakan keterujaan melihat penyertaan atlet para negara untuk acara sukan badminton yang pertama kali diadakan di temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Malaysia akan diwakili Cheah Liek Hou yang menduduki ranking kedua dunia dan Didin Terasoh yang berada dikedudukan ketujuh dunia dengan kedua-dua mereka berjaya layak secara merit bagi acara itu.
“Ini penampilan pertama atlet paralimpik negara iaitu Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan SU5 iaitu kategori kecacatan bahagian atas dan Didin Taresoh dalam acara perseorangan kategori kerdil,” kata Reezal.
Selain atlet para badminton, Reezal turut mengambil peluang melihat persiapan akhir Chew Wei Lun dari sukan Boccia yang kini berada di kedudukan ke-11 dunia dan Chee Chao Ming untuk acara ping pong yang menghuni ranking ke-19 dunia.