PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak menyifatkan pertembungan dengan Selangor dalam aksi ‘derby’ Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini (9 malam) pasti sengit.
Jelasnya, tiada pasukan yang sepatutnya dilabel sebagai pilihan kerana persediaan berbeza telah dilakukan dalam tempoh Liga Malaysia berehat sebelum ini.
“Untuk saya, kali ini tiada pasukan yang patut kita lihat pasukan pilihan atau pasukan bukan pilihan, semuanya sama sahaja kerana semua pasukan ada melakukan perubahan.
“Kami beraksi di laman sendiri esok (malam ini), jadi saya harap ia akan lebih membawa tuah kepada kita untuk mengutip tiga mata nanti.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan pasukan saya dan saya juga ada lebih ramai pilihan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama di mana mereka semuanya berada dalam keadaan yang baik sekarang,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain pula mahu barisan pemain waspada dengan ancaman Perak yang kini hadir dengan pemain import baharu sambil menyifatkan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.
Nafuzi enggan melihat kedudukan liga ketika ini sebagai ukuran untuk mereka berasa selesa meskipun skuad kendalian Chong Yee Fatt kini di tangga kelapan dan mahu pasukannya lebih serius untuk menghadapi lawan yang mungkin akan mencipta kejutan.
“Kita juga ada pemain baharu, begitu juga dengan Perak yang turut merombak beberapa pemain dan saya yakin mereka lebih bermotivasi kali ini untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Jadi, saya tidak mahu pemain mengambil mudah aksi pada esok (malam ini) walaupun kita sekarang di tangga kedua liga, dan apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Saya tetap beritahu pemain-pemain saya untuk mereka sentiasa berwaspada dengan setiap ancaman dan tidak boleh selesa dengan kemenangan-kemenangan yang pernah kita raih sebelum ini”, katanya