PETALING JAYA: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Afendy berazam untuk bangkit pada baki tujuh pusingan acara laser standard di Sukan Olimpik Tokyo selepas menduduki tangga ke-27 daripada 35 pelayar keseluruhan.
Jelas atlet berpengalaman itu, dia akan cuba mengurangkan kesilapan selain mahu lebih fokus dalam bacaan angin pada saingan seterusnya bagi memperoleh keputusan terbaik.
“Saya memang nak buat yang terbaik dalam setiap perlumbaan. Alhamdulillah tiga perlumbaan ini saya bermula dengan baik tetapi penamat kurang bagus sebab ada buat beberapa kesilapan yang saya tidak perasan.
“Saya cuba kurangkan kesilapan dan lebih fokus dalam bacaan angin. Masih ada tujuh pusingan dan saya akan cuba perbaiki kedudukan keseluruhan,” katanya.
Atlet berusia 28 tahun itu, perlu berada sekurang-kurangnya pada ranking ke-10 pelayar terbaik jika ingin melayakkan diri di Medal Race selepas menghabiskan 10 pusingan.
Pelayar Finland, Kaarle Tapper menerajui ranking teratas manakala Tonci Stipanovic (Croatia) kedudukan kedua manakala pelayar dari Cyprus, Pavlos Kontides mengekalkan keputusan konsisten berada di tempat ketiga teratas berturut.
Sementara itu, Nur Shazrin Mohd Latif yang telah mengharungi empat pusingan, kini berada di kedudukan ke-17 daripada 43 pelayar dalam acara laser radial wanita.
Dengan berbaki enam pusingan, Shazrin perlu memanfaatkan pusingan yang ada untuk memperbaiki kedudukan bagi menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.