TOKYO: Angin kuat mencecah sehingga 30 knot dijangka memberi kelebihan kepad pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy untuk menampilkan aksi cemerlang dalam acara laser hari ini.
Keadaan itu bagaimanapun tidak banyak membantu tiga lagi atlet negara iaitu Nur Shazrin Mohd. Latif yang bersaing dalam laser radial wanita serta gandingan Nuraisyah Jamil-Juni Noor Jamali dalam acara International 470.
Jurulatih pelayaran kebangsaan yang juga bapa Khairulnizam, Mohd. Afendy Abdullah bagaimanapun berkata, semua pelayar negara sudah dipersiapkan untuk berdepan segala kemungkinan, malah mereka juga mempunyai peluang yang sama pesaing lain terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 serta angin tidak menentu.
“Kalau dapat kawal kemahiran, emosi dan mental peluang itu akan menyusul.
“Apa yang penting, semua atlet perlu tahu kepentingan untuk negara. Jangan fikir apa-apa, semua yang dilakukan fikir tentang rakyat yang ketika ini berdepan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19.
“Atlet perlu faham kedudukan mereka ketika ini jangan pentingkan diri,” katanya.
Tokyo dilaporkan bakal dilanda Ribut Tropika Nepatark, dan angin dijangka lebih kuat sekitar perairan serta lokasi pertandingan acara pelayaran di Enoshima Yacht Harbor.