LONDON: Sudahlah kalah dan patah buku lali, hati Conor McGregor makin sakit apabila menjadi ‘bahan’ sindiran seteru lamanya, Khabib Nurmagomedov ketika tumpas kepada jaguh Amerika Syarikat (AS), Dustin Poirier dalam pertarungan lightweight UFC 264 di Las Vegas hari ini.
McGregor patah buku lali kiri hingga memaksa doktor menghentikan pertarungan pada penghujung pusingan pertama selepas dia yang cuba melepaskan tumbukan terjatuh ke belakang dengan kakinya terhimpit di tepi oktagon.
Bintang seni bela diri campuran Ireland itu kemudian dikejarkan ke hospital dan dijangka perlu berehat lama di luar gelanggang.
Dia enggan menerima kekalahan tersebut dan promoter UFC (Ultimate Fighting Championship),Dana White mengesahkan pertarungan keempat akan dilangsungkan.
Bagaimanaoun Khabib mengambil kesempatan dengan menyindir McGregor dan memuji Poirier atas kemenangannya.
Good always defeats evil.
Very happy for @DustinPoirier I hope you will get the belt end of the year— khabib nurmagomedov (@TeamKhabib) July 11, 2021
“Kebaikan akan sentiasa menewaskan kejahatan. Sangat gembira untuk @DustinPoirier.
“Saya harap kamu akan memenangi gelaran pada hujung tahun ini,” katanya dalam Twitter.
Peminat amat teruja dengan komen bintang Rusia itu yang kini beralih kepada profesion kejurulatihan.
“McGregor bukanlah idola yang baik untuk sukan ini.
“Apa yang dia tidak faham adalah apabila pertarungan menjadi terlalu peribadi, dia akan tumpas. Sebelum ini berlaku dengan Khabib dan kini Dustin. Ia ibarat orang baik menentang jahat,” kata seorang peminat.
“Ada banyak lagi singa lapar menanti takhta tersebut. McGregor tidak lagi sehebat dulu,” tulis yang lain. – AGENSI