KUALA NERUS: Misi pasukan tangga ketiga Liga Perdana, Terengganu FC II (TFC II) untuk mengekalkan rekod tanpa kalah ketika bertemu Kuching FC petang ini (4.15 petang) tidak terjejas walaupun tanpa kehadiran pemain tengah, Dechi Marcel.
Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, barisan terbaik akan dipertaruhkan dalam kunjungan ke Stadium Negeri di Sarawak.
“Pasukan lawan yang dipimpin Irfan Bakti Abu Salim tentunya bersedia dengan strategi terbaik tetapi kita masih ada penjaring terbanyak, Jordan Mintah untuk terus mempamerkan sentuhan.
“Setelah lebih dua bulan tanpa aksi kompetitif, saya berharap Sang Penyu dapat melakukan yang terbaik untuk membawa pulang mata dari tempat lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TFC II merupakan pasukan tunggal dengan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan selain tujuh keputusan seri untuk berada di belakang Negeri Sembilan dan pendahulu, Sarawak United.
Badrul Afzan berkata, prestasi dan kecergasan barisan pemainnya disifatkan meningkat dalam beberapa aksi persahabatan bertemu Terengganu FC dan Pulau Pinang baru-baru ini.