Kesusahan hidup bawa Ongare ke Olimpik - Utusan Malaysia

Kesusahan hidup bawa Ongare ke Olimpik

CHRISTINE Ongare menjalani latihan di Nairobi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI, Kenya: Bergelar ibu seawal usia 12 tahun dan dibesarkan di pinggir bandar Nairobi, Christine Ongare memasang impian untuk menjadi atlet wanita Afrika pertama meraih pingat Sukan Olimpik dalam acara tinju.

Berusia 27 tahun, atlet Kenya itu berpeluang memahat sejarah di Tokyo iaitu dalam penamilan pertama pada Sukan Olimpik.

“Sudah banyak kali saya memikirkan tentang menyerah kalah, namun saya meneruskan pengembaraan ini kerana saya percaya dari mana saya datang lebih sukar daripada ke mana saya mahu pergi,” kata Ongare.

Dengan ketinggian 1.57 meter dan berat 51 kilogram, Ongare membesar di Eastlands, kawasan kejiranan yang ‘kurang menyenangkan’ di Nairobi.

Kehidupannya sangat sukar apabila membesar di persekitaran yang memiliki kadar jenayah tinggi, malah dia mendedahkan kanak-kanak perempuan sering didera secara fizikal serta seksual, dan dia perlu belajar untuk mempertahankan diri dari usia muda.

TINJU merubah kehidupan Christine Ongare.

“Saya anak bongsu daripada empat adik-beradik. Mereka yang lain tidak berada di sini, jadi itu membuatkan kehidupan saya lebih sukar kerana harus mempertahankan diri sendiri.

“Tidak kira perempuan atau lelaki, yang cuba mengganggu saya, ia bukan satu masalah walaupun saiz mereka kecil atau besar kerana saya akan melakukan apa saja untuk mempertahankan diri,” katanya.

Pada usia 12 tahun, Ongare hamil anak lelaki yang diberi nama Maxwell, namun dia tidak selesa untuk bercerita tentang perkara itu.

Bayi lelaki itu dibesarkan oleh ibu Ongare, yang memikul tanggungjawab tersebut supaya anak perempuannya dapat kembali ke sekolah.

“Anak saya tidak memanggil saya ibu, dia memanggil saya dengan nama saya. Dia memanggil ibu saya ‘ibu,” katanya sambil tertawa.

Kata Ongare, ketika remaja dia sudah mencuba sukan lain termasuk bola sepak dan gimnastik, namun tinju membawa hidupnya ke arah berbeza.

Sukan ini memberi Ongare ‘ketahanan’ dan membantunya mengatasi masalah di rumah, kata Benjamin Musa, ketua jurulatih skuad tinju Olimpik Kenya.

“Itulah yang sangat dia perlukan untuk keluar dari kehidupan yang sulit yang dia lalui,” kata Musa, yang telah mengenali Ongare sejak awal pertempuran.

Pada 2018, Ongare beraksi dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, di mana dia berjaya memenangi pingat gangsa kategori featherweight, sekali gus muncul petinju wanita Kenya pertama meraih perak di temasya tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya