TOKYO: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka menyifatkan kekalahan kepada Marketa Vondrousova di Sukan Olimpik 2020 Tokyo semalam adalah yang terburuk buat dirinya.
Osaka, yang diberi peranan menyalakan obor pada temasya di Tokyo itu, tewas mengejut kepada pemain Republik Czech, Vondrousova 1-6, 4-6 dalam tempoh 68 minit di Ariake Tennis Park.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan kesemua tiga pemain pilihan utama termasuk Ashleigh Barty dari Australia dan Aryna Sabalenka (Belarus) tersingkir awal pada temasya kali ini.
“Saya rasa sangat kecewa. Sememangnya saya rasa kecewa dalam setiap kekalahan, tetapi kali ini saya fikir inilah paling teruk berbanding yang lain.
“Segalanya…jika anda menyaksikan perlawanan ini, anda akan nampak.
“Saya rasa ada banyak perkara yang saya harapkan, namun ia sama sekali tidak dapat bergantung pada hari ini,” kata Osaka.
Juara Grand Slam empat kali itu tidak beraksi di Wimbledon, awal ini sebagai persediaan menghadapi Olimpik di Tokyo.
“Saya dapat rasakan terdapat banyak tekanan untuk ini. Saya rasa mungkin saya belum pernah beraksi di Olimpik sebelum ini dan untuk penampilan pertama ini memberikan banyak pengajaran,” tambahnya.
Osaka sudah hampir dua bulan tidak beraksi di peringkat kompetitif sejak menarik diri daripada Terbuka Perancis selepas memboikot media kejohanan tersebut.