Kedah minta maaf perlawanan ditunda, dua pemain positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Kedah minta maaf perlawanan ditunda, dua pemain positif Covid-19

FOKUS Kedah kini adalah mencabar kelompok atasan Liga Super.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC akur dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menunda perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar yang dijadualkan berlangsung malam ini ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, pihaknya sebagai tuan rumah perlawanan itu memohon maaf atas segala kesulitan berlaku.

“Kami ingin memohon maaf terutamanya kepada pasukan Penang FC yang difahamkan telah tiba awal di Alor Setar pada petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, penundaan perlawanan dibuat selepas dua pemain skuad Lang Merah itu didapati positif Covid-19.

“Selaras dengan keputusan yang dikeluarkan oleh MFL, tindakan itu adalah bagi memastikan keutamaan diberikan kepada keselamatan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Liga Super,” ujarnya.

Menurutnya, KDA FC telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MFL dalam persiapan Liga Super sepanjang menjalani latihan kem berpusat sejak dua bulan lepas.

“Namun, malangnya ujian calitan PCR (rantai polimerase) terakhir selepas cuti Hari Raya Aidiladha melibatkan dua pemain didapati positif,” jelasnya.

Katanya, ia merupakan kes pertama pemain KDA FC positif Covid-19 sejak pasukan menjalani latihan kem berpusat mengikut gelembung sukan bagi persiapan kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Proses ujian calitan adalah wajib kepada semua pemain KDA FC menurut SOP dikeluarkan MFL setiap kali pemain dan pegawai pasukan melaporkan diri dalam kem latihan berpusat menurut gelembung sukan.

“Walau bagaimanapun, ia tidak melibatkan pergaulan individu yang dikesan positif bersama rakan sepasukan yang lain (keputusan ujian calitan negatif),” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, ujar beliau, keputusan MFL dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ini adalah tepat bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 dan melaksanakan kuarantin untuk memastikan pemain dan pegawai sentiasa terlindung.

“KDA FC sentiasa komited dan mematuhi SOP ketat bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya