JDT tetap 'ghairah' buru kemenangan - Utusan Malaysia

JDT tetap ‘ghairah’ buru kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Biarpun sudah tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara (ACL), namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap bersemangat untuk menumpaskan Ratchaburi FC buat kali kedua hari ini, sekali gus menutup kempen di Bangkok dengan positif.

Ketua Jurulatihnya, Benjamin Mora menuntut aksi terbaik daripada anak-anak buahnya dan berjuang habis-habisan pada perlawanan terakhir Kumpulan G menentang pasukan tuan rumah itu bagi mengubati kekecewaan setelah mengharungi tiga perlawanan dengan kekalahan.

Katanya, JDT yang pernah menumpaskan Ratchaburi pada aksi kedua kumpulan merancang untuk mengulangi kejayaan itu biarpun tahu pasukan bimbingan Somchai Maiwilai itu mahu melakukan perkara yang sama bagi mengelakkan terus melekat di posisi tercorot.

BENJAMIN Mora dalam sidang akhbar di Bangkok hari ini.

“Jika melihat aksi Ratchaburi dalam tiga perlawanan terdahulu, persembahan mereka menunjukkan peningkatan dan lebih berdaya saing menggalas misi memburu kemenangan pertama. Pastinya mereka akan memberi tentangan hebat pada perlawanan esok (malam ini).

“Mereka juga gemar bertahan dengan meletakkan begitu ramai pemain di barisan pertahanan dan ini adalah cabaran buat pasukan untuk memecahkan benteng tersebut bagi membawa pulang tiga mata pada aksi terakhir kumpulan.

“Kami wajib menang perlawanan itu bagi menamatkan saingan ACL dengan keputusan yang positif sekali gus merekodkan persembahan yang lebih baik berbanding tahun lalu dan 2019. Progres ini yang menjadi keutamaan kami yang bersaing dalam kejohanan di tahap tertinggi ini,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Ratchaburi di Stadium Rajamangala, Bangkok malam esok.

Dalam pertemuan dahulu, skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan tipis ke ats The Dragons hasil jaringan tunggal Leandro Velazquez yang menjaringkan gol menerusi sepakan gunting pada awal babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat JDT.

PEMAIN Ratchaburi menjalani latihan di Bangkok hari ini.

Dalam pada itu, kapten, Farizal Marlias mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak terlalu memandang rendah keupayaan pasukan tuan rumah setelah mencatatkan kemenangan tipis itu sebaliknya memberikan tumpuan penuh pada aksi terakhir esok.

Katanya, kejayaan lalu tidak memberi sebarang erti kerana ia adalah perlawanan yang berbeza selain kelab Thailand itu mempunyai beberapa pemain yang mampu menggugat JDT dan seharusnya dikawal ketat sepanjang perlawanan.

“Perlawanan terakhir ini adalah penting buat kami dan saya berharap rakan sepasukan akan beraksi dengan lebih baik berbanding pertemuan terdahulu. Ini kerana lawan kita esok bukanlah pasukan yang lemah, mereka adalah pasukan yang bermain corak permainan pantas dan mempunyai kekuatan dari segi teknikal.

“Jadi, kita tidak boleh pandang mereka sebelah mata. Sebaiknya, kita perlu mengikut segala perancangan rapi dan taktikal yang direncanakan oleh ketua jurulatih dan berjuang hingga titisan keringat terakhir,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya