JOHOR BAHRU: Tiga hari selepas dihukum 4-1 oleh Pohang Steelers angkara tiga sepakan penalti, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak sabar untuk membalas dendam terhadap kelab Korea Selatan itu apabila kedua-dua pasukan bertemu lagi di Bangkok malam ini.
Hanya kemenangan dapat menghidupkan peluang Harimau Selatan untuk ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas dua kekalahan yang dialami meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan G.
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, selepas pertemuan pertama, Isnin lalu pasukannya sudah membaca permainan juara ACL tiga kali itu dan akan memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’.
“Kami tekad untuk tebus kekalahan dan sudah memperbaiki kelemahan.
“Kami akan beraksi dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kita sudah dapat membaca permainan Pohang serta tahu kemampuan mereka dengan lebih terperinci berbekalkan pengalaman yang lalu.
“Kami amat bersedia dan mahu mengutip tiga mata bagi menghidupkan peluang.
“Kita tidak boleh tewas lagi jika mahu terus berada dalam kejohanan,” katanya.
Satu-satunya kemenangan yang diraih JDT setakat ini adalah menumpaskan kelab Thailand, Ratchaburi FC.
Dua lagi perlawanan menentang Steelers dan kelab dari Jepun, Nagoya Grampus berakhir dengan kekalahan 0-1 dan 1-4.
“Jadual perlawanan yang padat memberi kesan kepada mental dan fizikal pemain.
“Tiga sepakan penalti yang dihadiahkan kepada pasukan lawan dalam aksi pertama juga bukan sesuatu yang normal.
“Kami harus fokus untuk tidak mengulangi kesilapan, namun dalam masa sama pasukan akan cuba lebih berbisa di bahagian serangan bagi memanfaatkan peluang mencipta jaringan,” ujarnya.