PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan menjaga dirinya sebaik mungkin sebaik tiba di Tokyo bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Katanya keadaan di Tokyo sememangnya sangat kritikal dengan adanya jangkitan terbaharu di Perkampungan Olimpik yang sememangnya meresahkan setiap atlet bertanding.
Dia berkata, semua pemain badminton sudah terbiasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sejak dari awal latihan hingga ke Sukan Olimpik dan perkara sama akan digunakan di Tokyo nanti.
“Keadaan di sana memang kritikal, jadi kita kena jaga diri sendiri sebab sudah ada kes di sana.
“Macam makan di kantin itu saya akan cuba elak, sebab akan ramai orang di sana, jadi saya akan ambil makanan dan makan di bilik.
“Memang saya akan menjaga SOP di sana kerana bahaya,” katanya sebelum berangkat ke Tokyo.
Semalam, dua atlet yang menginap di Perkampungan Olimpik disahkan positif Covid-19, malah tiga kes baharu dicatatkan dengan turut melibatkan seorang pegawai Korea Selatan.