KOTA BHARU : Pengendali Kelantan FC Marco Ragini mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV petang ini (4.45 petang).
Ragini berkata, meskipun rata-rata pemain yang membarisi pasukan itu masih muda namun keupayaan mereka tidak boleh diambil mudah oleh The Red Warriors (TRW).
Menurutnya, hasil analisis video yang dilakukan ke atas corak permainan skuad projek itu mendapati mereka mempunyai gaya permainan baik dan mampu ‘memerangkap’ lawan sekiranya kurang diberi perhatian.
“Saya harap pemain Kelantan FC tidak ambil mudah perlawanan ini, sebaliknya beraksi dengan penuh disiplin bagi memastikan tiga mata menjadi milik kita pada aksi itu nanti.
“Saya juga mahu setiap peluang terhidang dimanfaatkan sebaik mungkin supaya, kita tidak terlepas untuk mendapatkan jaringan seterusnya keluar sebagai pemenang,” katanya.
Ragini memberitahu, barisan pemain TRW turut diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum mereka pada perlawanan tersebut.
Katanya, Kelantan FC perlu menang ke atas Skuad Projek FAM-MSN bagi mengelakkan jurang mata dengan pasukan dikelompok teratas terus tertinggal jauh.