PETALING JAYA: Selepas lebih setahun ‘sengsara’, terpaksa meninggalkan keluarga dan berjuang dalam situasi pandemik Covid-19 yang mencabar, tiba masanya buat 30 wira-wira Malaysia membuktikan kemampuan bersaing dengan lebih 11,000 atlet seluruh dunia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang disingkap secara rasmi semalam.
Melihat pingat emas pertama dibawa pulang adalah impian besar 32 juta rakyat Malaysia. Mereka tidak kira dari mana kilauan emas hadir, berbasikal, terjun atau badminton, yang mereka mahu hanyalah kejayaan.
Secara realistik, beberapa atlet menggalas tugas membawa pulang emas. Nama jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang berada di senarai teratas, selain pemain badminton, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying atau Lee Zii Jia serta para penerjun yang diketuai Pandelela Rinong.
Begitupun semua 30 atlet yang bertanding di Tokyo sebenarnya bertanggungjawab menjaga maruah Malaysia.
Maruah bukan sekadar pingat, sebaliknya kesungguhan dan prestasi yang ditunjukkan di dalam gelanggang. Bagaimanapun mereka memberi cabaran, apakah 100 peratus, 200 peratus atau 10 peratus.
Kepada yang datang ke Tokyo tanpa pengharapan besar, mereka bertanggungjawab memberi persembahan terpuji. Jika tiada pingat, berusahalah mengatasi rekod kebangsaan atau beri aksi terbaik.
Bagi yang turun bersama harapan pingat, ingatlah, sebutir emas akan merubah hidup anda, keluarga dan orang-orang tersayang.
Sebutir pingat juga mampu memberi senyuman kepada 32 juta rakyat Malaysia yang sedang bertarung dalam pertempuran mereka sendiri.
Ayuh titipkan doa agar wira-wira negara terhindar daripada Covid-19 dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Lupakan empat perak atau satu gangsa yang menjadi pencapaian terbaik kita di Rio 2016. Itu perjuangan lima tahun lalu, kini mereka berada di medan ‘perang’ baharu, ‘bersatu dengan emosi’ memburu kegemilangan.