LONDON: Bukan saja media Itali, malah peminat mereka turut melancarkan serangan psikologi terhadap England sebaik saja mengetahui Three Lions akan menjadi lawan mereka dalam final Euro 2020.
Media Itali mempersendakan sepakan penalti yang diperolehi England ketika menumpaskan Denmark 2-1 dalam separuh akhir semalam dengan meminta pemain mereka berhati-hati menjelang final di Wembley, Isnin ini.
Akhbar popular Itali, Corriere dello Sport menyiarkan tajuk besar “kek kastard puding” yang membawa maksud England yang membosankan.
Tajuk kecil pula tertulis: “Southgate memerlukan bantuan pengadil untuk layak ke final bertemu Itali.”
Satu lagi akhbar utama mereka, Gazzetto dello Sport menggunakan tajuk: “Mari menjulang trofi, Denmark berjaya menakutkan England.”
Sementara itu wartawan beIN Sports, Tancredi Palmeri menukar lagu popular skuad bola sepak England It’s Coming Home kepada It’s Diving Home dalam hantarannya di Twitter.
Peminat skuad Azzurri pula menaikkan sepanduk It’s Coming Rome, merujuk kepada trofi Eropah akan kembali ke Itali.
England melangkah ke perlawanan akhir terbesarnya sejak menjuarai Piala Dunia 1966, malah ini kali pertama mereka mara ke final Euro. – AGENSI