Impian emas Olimpik iringi pemergian wira-wira Malaysia - Utusan Malaysia

Impian emas Olimpik iringi pemergian wira-wira Malaysia

MUHYIDDIN Yassin (tengah) memberi kata-kata motivasi kepada kontinjen Malaysia yang berlepas ke Sukan Olimpik Tokyo di KLIA, Sepang malam ini. Turut hadir Reezal Merican Naina Merican (dua, kiri), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri), Lee Chong Wei (kanan) dan Mohamad Norza Zakaria. - Ihsan Kementerian Belia dan Sukan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan tinggi untuk melihat pingat emas pertama dibawa pulang dari Sukan Olimpik mengiringi pemergian kontinjen terbesar Malaysia ke Tokyo 2020 yang dilepaskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

“Saya harap kali ini ialah kali yang pertama Malaysia akan membawa pingat emas yang pertama dan bagi mereka yang berjaya, insya-Allah ganjaran yang baik akan kita berikan kepada anda semua,” kata Perdana Menteri ketika menyempurnakan Lambaian Juara Demi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Muhyiddin turut memberi kata-kata motivasi kepada skuad badminton, gimnastik, akuatik (renang, terjun) dan memanah sebelum mereka berlepas ke Tokyo untuk temasya sukan terbesar dunia bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Muhyiddin dalam ucapannya di hadapan 40 anggota kontinjen negara menaruh keyakinan tinggi kumpulan yang mewakili Malaysia dalam temasya itu adalah terbaik dan mampu menyinar.

“Saya menaruh keyakinan anda semua akan berjuang berhabis-habisan demi Malaysia tercinta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia, untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa, dan membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing.

“Yang paling utama memastikan lagu keramat Negaraku berkumandang di venue pertandingan nanti,” katanya dengan penuh semangat.

Beliau juga berharap di bawah kepimpinanan Datuk Lee Chong Wei selaku ketua kontinjen, negara mampu membuahkan keputusan terbaik dalam sejarah penyertaan negara di sukan Olimpik kali ini.

“Apa yang saya dapat lihat keseluruhan kontinjen kita pada temasya kali ini yang seramai 30 atlet, 21 jurulatih dan 13 pegawai ini sebenarnya bukan sekadar 30 orang atau jumlah 64 orang, ia sebenarnya mencerminkan kekuatan 32 juta orang rakyat Malaysia keseluruhan.

“Justeru kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada anda semua yang menjadi ‘The Beacon of Hopes’,” katanya.

PENERJUN negara, Wendy Ng turut menggalas misi besar di Olimpik Tokyo.

Muhyiddin turut mengingatkan kontinjen negara untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan soal kesihatan.

Sejurus menyampaikan amanat penuh semangat, Muhyiddin mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan kontinjen Malaysia ke temasya berpestij itu.

Turut hadir mengiringi atlet ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Chong Wei.

Seramai 40 orang, termasuk 18 atlet berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines MH9118 pada jam 10.50 malam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 8.05 pagi esok.

Sejurus tiba di Tokyo, mereka akan menjalani ujian calitan Covid-19 dan menjalani tempoh isolasi tiga hari, selain perlu menjalani ujian air liur sepanjang tempoh berada di negara Matahari Terbit itu.

Malaysia pada Olimpik kali ini, akan diwakili oleh 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan, dengan matlamat utama kekal untuk merangkul pingat emas pertama Malaysia.

SEBAHAGIAN atlet Malaysia yang berlepas ke Tokyo malam ini.

Kumpulan pertama atlet Malaysia yang terdiri daripada empat atlet pelayaran, Khairulnizam Afendy (laser lelaki), Nur Shazrin Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (International 470 wanita) yang diiringi tiga pegawai telah berlepas ke Tokyo pada 8 Julai lalu.

Penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taib yang akan beraksi dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita berlepas pagi tadi, manakala baki atlet dijadual berlepas 25 Julai ini.

Atlet lain yang layak ke Olimpik ialah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Gavin Kyle Green, Kelly Tan (golf) dan Welson Sim dan Phee Jinq En (renang).

Selain itu, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik) pemain badmiton Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Pada temasya terakhir di Rio 2016, Malaysia yang diwakili 32 atlet melakar pencapaian terbaik negara dalam sejarah Olimpik dengan meraih empat pingat perak dan satu gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya