Harimau Selatan mahu lepas 'geram' dalam liga domestik - Utusan Malaysia

Harimau Selatan mahu lepas ‘geram’ dalam liga domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setelah berakhirnya perjuangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) di Bangkok,  skuad kendalian Benjamin Mora itu akan mengalihkan tumpuan mereka ke arah saingan liga domestik pula.

Mora, 42, berkata, bermula hari ini, Harimau Selatan akan menyambung semula misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi kelab dari selatan tanah air itu buat tujuh tahun berturut-turut.

Katanya, buat masa sekarang, pemain perlu merehatkan tenaga dan minda mereka setelah mengharungi perlawanan berintensiti tinggi dalam kempen ACL selain menjalani pemulihan bagi mempersiapkan diri untuk saingan Liga Super.

“Dengan terhentinya langkah kami di ACL ini, maka tumpuan kami beralih kepada saingan Liga Super dalam membawa misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi.

“Sebaik pemain menjejakkan kaki ke Malaysia, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin sebelum menjalani kem latihan bagi mempersiapkan diri untuk pusingan kedua Liga Super,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Skuad Harimau Selatan menamatkan saingan ACL dengan menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan G mengutip empat mata selepas mencatatkan keputusan menang dan seri ke atas Ratchaburi FC manakala tewas dua perlawanan masing-masing menentang Pohang Steelers dan Nagoya Grampus di Stadium Rajamangala.

Biarpun gagal melangkah ke pusingan seterusnya, pengendali kelahiran Mexico itu berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya yang tidak menyerah kalah dan mempamer semangat juang tinggi dalam setiap perlawanan.

Jelasnya, peluang beraksi di kejohanan tertinggi peringkat Asia membolehkan anak buahnya termasuk pemain muda menimba pengalaman berharga ketika bersaing dengan pasukan yang jauh lebih hebat.

“Sejujurnya, kami berasa amat bertuah apabila berpeluang beraksi di pentas ACL. Pemain juga dapat menimba pengalaman berharga yang boleh dimanfaatkan untuk perkembangan karier mereka.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pemain yang berjuang bermati-matian sepanjang kejohanan. Pastinya kami merindui untuk beraksi di kejohanan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya