SPIELBERG: Lewis Hamilton mengakui, Mercedes semakin ketinggalan di belakang Red Bull selepas Max Verstappen melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menjuarai Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Austria, kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan Red Bull kini menjuarai lima perlumbaan berturut-turut selepas Verstappen menang di Monaco, Perancis, Styria dan Austria, manakala Sergio Perez menjuarai GP Azerbaijan.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton yang baru menandatangani penyambungan kontrak dua tahun, Sabtu lalu menggesa pasukannya melakukan pembaharuan jika ingin bersaing selepas kali terakhir memenangi perlumbaan di Sepanyol, 9 Mei lalu.
“Kami makin tertinggal di belakang (Red Bull). Kami perlukan melakukan sesuatu secepat mungkin.
Mereka giat menaik taraf jentera sejak beberapa perlumbaan tetapi kami belum melakukan apa-apa lagi,” katanya yang menutup GP Austria di tangga keempat.
Kelmarin, Verstappen merangkul kejuaraan hatrik di depan lautan ‘oren’ selepas ribuan penyokongnya membanjiri Litar Red Bull Ring, Spielberg yang buat kali pertama dibuka secara penuh kepada penonton sejak Covid-19 menyerang dunia.
Lebih 39,000 hadir pada hari perlumbaan dan sepanjang tiga hari saingan – latihan bebas (Jumaat), kelayakan (Sabtu) dan saingan sebenar (Ahad), GP Austria mencatat 150,000 kehadiran.
“Saya sangat teruja beraksi di depan ribuan penonton. Sangat luar biasa dan gembira meraih kemenangan di sini sekali lagi.
“Bagi saya ia bukan tugas mudah untuk menang ketika anda turun sebagai pemandu pilihan. Dua minggu ini sungguh luar biasa,” kata Verstappen.
Kemenangan tersebut membolehkan pemandu Belanda itu mendahului kejuaraan dunia dengan 182 mata, 32 mata mengatasi Hamilton menjelang GP Britain di Silverstone, 18 Julai ini. – AGENSI