PETALING JAYA: Farah Ann Abdul Hadi mengalirkan air mata sebaik saja dia menyelesaikan tugasan terakhirnya ketika beraksi dalam acara all-around individu wanita semalam.
Atlet gimnastik artistik Malaysia itu sangat emosional kerana impiannya untuk bertanding dalam Sukan Olimpik akhirnya menjadi kenyataan biarpun pada mulanya terdapat banyak ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19.
Farah Ann, 27, menamatkan saingan di tanggta ke-68 daripada 85 peserta selepas mengumpul 48.656 mata di Pusat Gimnastik Ariake di Tokyo dalam saingan kelayakan.
Dia gagal menempatkan diri ke pusingan akhir individu kerana hanya 24 gimnas terbaik akan berjaya, namun Farah Ann tetap melemparkan senyuman sepanjang masa.
Atlet kelahiran Subang Jaya itu meraih mata tertinggi dalam dua acara kegemarannya. Dia memperoleh 13.166 mata dalam melombol dan 12.233 mata menerusi senaman lantai.
Dalam aparatus lain, dia mengutip 11.600 mata di palang tidak sejajar dan 11.566 dalam batang titian.
Dapat difahami mengapa Farah menjadi sangat emosional kerana lima tahun lalu, dia terlepas untuk melayakkan diri ke temasya Rip 2016 dengan hanya 0.01 mata.\
Pada 2019, dia berjaya melayakkan diri ke Tokyo 2020 selepas menduduki tempat ke-59 daripada 234 pesaing secara individu pada Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman.
“Saya bersyukur dapat bertanding di sini, dan ini satu penghormatan. Saya tahu saya telah memberikan segalanya pada tahap ini. Saya memberikan yang terbaik untuk menjadi sebahagian daripada temasya ini.
“Saya akan mengatakan bahawa saya berpuas hati dengan penampilan saya. Saya tidak berjaya mendarat hanya dalam satu aparatus (palang tidak sejajar) tapi secara keseluruhan, ini pengalaman yang akan saya hargai sepanjang hayat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat Malaysia yang telah menyokong saya selama ini. Saya melakukan yang terbaik, dan terima kasih, Malaysia,” kata Farah Ann dengan penuh emosi.
Farah Ann muncul gimnas ketiga Malaysia layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada edisi 2000 (Sydney) dan Shu Wai pada 2004 (Athens).
Selain Farah Ann, turut ke pentas Olimpik Tokyo, gimnas lelaki negara, Jeremiah Loo yang turut membuat penampilan sulung selepas layak dalam acara individu all around lelaki bulan lalu.