LONDON: Pengendali England, Gareth Southgate menggesa pemainnya bermain tanpa rasa gentar apabila berdepan Ukraine dalam suku akhir Euro 2020 di Rome awal pagi nanti.
Southgate mahu pemainnya melupakan kejayaan menyingkirkan juara tiga kali, Jerman 2-0 di Wembley sambil memberi amaran jangan sesekali memandang rendah keupayaan Ukraine yang turut sebagai underdog (bukan pilihan).
“Kami telah melepasi satu cabaran tetapi bukan Everest seperti yang ditetapkan. Kami mahu terus maju.
“Ini peluang terbaik pasukan untuk memahat sejarah. Kami sudah melupakan Jerman dengan cepat biarpun ia tidak mudah kerana pelbagai mesej yang diterima, tapi fokus harus terarah kepada perlawanan Sabtu ini bukan selain dari itu.
“Kami tidak leka, harus tenang tapi bukan kecut perut. Sebelah kaki perlu di depan kerana kami ken amengambil langkah seterusnya ke depan,” kata Southgate.
Selepas mengharungi empat perlawanan di depan puluhan ribu penyokong sendiri di Wembley, England akan beraksi tanpa mereka buat kali pertama dengan menentang Ukraine di Rome.
Pemenang akan berdepan Republik Czech atau Denmark, yang berentap dalam satu lagi suku akhir di Baku. – AGENSI