ROME: Andriy Shevchenko memilih England akan mengalahkan Denmark, Khamis ini dan mara ke perlawanan akhir Euro 2020.
Pengendali Ukraine itu berkata, dia amat kagum dengan prestasi Three Lions ketika membelasah pasukannya 4-0 pada suku akhir di Rome semalam.
Dua jaringan Harry Kane, selain gol menerusi Harry Maguire dan Jordan Henderson memberi kemenangan selesa buat England.
Dia percaya, prestasi anak-anak buah Gareth Southgate kali ini jauh lebih baik berbanding ketika disingkirkan oleh Croatia di separuh akhir Piala Dunia 2018.
“England bermain dengan amat pragmatik hari ini. Mereka menggunakan kekuatan pemain sayap dan memanfaatkan kesilapan kami, mereka sangat bagus.
“England pasukan yang benar-benar kuat, mereka memiliki kekuatan individu dan berpasukan.
“Mereka telah mara ke separuh akhir dan saya dapat rasakan pasukan ini akan bermain di final,” kata Shevchenko.
Sementara itu, ribuan penyokong Three Lions berpesta di seluruh negara, terutama di bandar-bandar besar bagi meraikan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir
Kejohanan Eropah buat kali pertama sejak 1996 iaitu 25 tahun lalu.
Melihat suasana itu, Southgate berjanji pasukannya akan melakukan apa saja yang terdaya untuk menumbangkan Denmark, melangkah ke final dan menjulang kejuaraan buat kali pertama.
“Ini luar biasa. Dua separuh akhir dalam tempoh tiga tahun (selepas Piala Dunia 2018) sesuatu yang hebat tapi kami tidak mahu berhenti di sini.
“Kami akan melangkah dua langkah lebih jauh.
“Saya tahu apa yang berlaku di tanah air.
“Semua meraikan kejayaan kami malam ini, mereka berhak bergembira dan kami akan melakukan apa saja untuk tidak mengecewakan mereka,” kata Southgate kepada BBC.
Ini adalah kali ketiga England berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Euro selepas 1968 dan 1996. – AGENSI