TOKYO: Daripada hanya menggunakan basikal, topi keselamatan dan pelindung siku serta lutut terpakai, Bethany Shriever kini bergelar juara Olimpik apabila meraih emas berbasikal BMX wanita di Tokyo 2020 semalam.
Pelumba muda Great Britain itu sangat terkejut apabila melepasi garisan penamat sebagai pemenang dengan catatan masa 44.358 saat.
Dia mengenepikan tentangan hebat pelumba pilihan dari Colombia, Mariana Pajon dengan hanya dipisahkan 0.090s, manakala gangsa milik Merel Smulders dari Belanda.
“Saya sangat terkejut dengan kejayaan ini kerana berada di sini (Olimpik) sudah satu pencapaian membanggakan. Mara ke final keputusan terbaik dan meraih emas sangat bermakna.
“Bagi saya kejayaan ini tidak masuk akal kerana di hujung perlumbaan saya rasa macam tiada peluang. Emas adalah impian bagi setiap atlet dan saya baru saja memenanginya,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.
Ibu Shriever, Kate mengakui perjalanan karier anaknya dalam BMX bukan mudah dan patut menjadi inspirasi kepada atlet remaja di luar sana.
“Beraksi di Sukan Olimpik adalah impian Bethany. Dia mula menceburi sukan ini seawal usia sembilan tahun.
“Kami sangat teruja dengan kemenangannya dan berbangga dengan apa yang dicapai. Banyak sukar duka sudah dilalui selama ini,” ujar Kate. – AGENSI