SEREMBAN: Dalam satu malam, Perak dimalukan bukan sekali tetapi dua kali pada dua perlawanan berbeza.
Pasukan Perak FC dan Perak FC II masing-masing dibelasah 5-0 dalam aksi Liga Super serta Liga Perdana sebentar tadi.
Jika Perak tumbang 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak II pula dibenam 5-0 oleh Negeri Sembilan FC (NSFC) di Paroi.
Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, Negeri Sembilan memulakan pesta gol menerusi sentuhan pemain pertahanan, Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-19.
Pasukan pelawat cuba memberikan tentangan dua minit selepas itu namun tandukan Muhammad Nazirul Afif Ibrahim terkena palang gol NSFC yang dikawal oleh Damien Chien Khai Lim.
Tuan rumah kemudian memperoleh gol kedua menerusi penyerang muda N. Javabilaarivin pada minit ke-33.
Tidak terhenti setakat itu, penyerang import tuan rumah, Alain Thierry Akono Akono menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-41, diikuti jaringan keempat hasil sentuhan Kouassi Francis Kone seminit sebelum tamat separuh masa pertama.
Mendahului selesa tidak menghentikan serangan bertali arus tuan rumah dan hasilnya ketua pasukan NSFC, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak melengkapkan malam penuh bergaya dengan gol kelima pada minit ke-81.
Negeri Sembilan kini mengumpul 26 mata selepas 14 perlawanan diharungi, manakala Perak II di kedudukan kedua tercorot, sama seperti Perak yang menduduki tangga kedua terbawah Liga Super.