MILAN: Gianluigi Donnarumma menulis mesej penuh emosi ketika mengucapkan selamat tinggal kepada AC Milan untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG).
Katanya, dia perlu membuat beberapa keputusan sukar, namun itu adalah sebahagian proses untuk menjadi ‘lelaki dewasa’.
Penjaga gol itu berusia 22 tahun itu yang membantu Azzurri muncul juara Euro 2020, dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan selepas menyelamatkan dua sepakan penalti ketika menumpaskan England di final.
Menurut beberapa sumber di Itali dan Perancis, Donnarumma akan menandatangani kontrak bersama gergasi bola sepak Perancis, PSG hari ini selepas enggan melanjutkan kontraknya di Milan.
“Beberapa pilihan sukar tetapi ini adalah sebahagian daripada proses untuk menjadi seorang ‘lelaki’.
“Saya tiba di Milan ketika masih kanak-kanak, selama lapan tahun saya memakai jersi ini dengan rasa bangga, kami bertarung, menderita, menang, menangis, diraikan bersama rakan sepasukan.
“Saya juga mencapai sasaran peribadi yang penting dengan jersi Rossoneri, seperti penampilan sulung pada usia 16 tahun dalam Serie A. Saya melalui tahun-tahun luar biasa yang tidak akan saya lupakan.
“Sekarang tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Itu bukanlah pilihan yang mudah, sukar diluah dalam apa-apa catatan atau mungkin saya tidak akan pernah dapat menjelaskannya dengan kata-kata,” tulisnya dalam Instagram. – AGENSI