Djokovic mangsa kejutan Olimpik - Utusan Malaysia

Djokovic mangsa kejutan Olimpik

NOVAK DJOKOVIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Misi Novak Djokovic untuk memburu sejarah ‘Golden Slam’ tidak kesampaian selepas cabarannya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir di tangan bintang Jerman, Alexander Zverev pada separuh akhir perseorangan lelaki, hari ini.

Jaguh No. 1 dunia dari Serbia itu tewas 6-1, 3-6, 1-6, sekali gus gagal memenuhi impiannya untuk muncul pemain tenis lelaki pertama memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam dan emas Olimpik dalam tahun yang sama.

Legenda tenis wanita Jerman, Steffi Graf satu-satunya pemain yang pernah melengkapkan ‘Golden Slam’ ketika melakukannya pada 1988.

ALEXANDER Zverev bagaikan tidak percaya berjaya menewaskan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic pada separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020. – AFP

Sudahpun memenangi kejuaraan Terbuka Australia, Perancis dan Wimbledon tahun ini, Djokovic, 34, menjadi pilihan utama untuk memenangi emas di Tokyo, selain menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS).

“Saya beritahu Novak, dia adalah pemain terbaik sepanjang zaman dan akan kekal sebagai legenda.

“Saya tahu dia mengejar sejarah, dia mengejar ‘Golden Slam’ dan mahukan pingat emas Olimpik buat negaranya, namun dalam momen begini, saya dan Novak sangat rapat.

“Sudah tentu saya gembira memenangi perlawanan tetapi pada masa sama, saya dapat rasa perasaan Novak,” kata Zverev, 24.

Pemain No. 5 dunia itu kini akan menentang Karen Khachanov yang beraksi di bawah bendera ROC dalam penentuan pingat emas, Ahad ini.

Khachanov mara selepas menewaskan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta 6-3, 6-3. Busta akan bertemu Djokovic untuk memburu gangsa esok. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya