TOKYO: Atlet judo Jerman, Martyna Trajdos merasakan tamparan dan goncangan daripada jurulatihnya, Claudiu Pusa belum cukup kuat ketika tewas dalam Sukan Olimpik 2020 semalam.
Atlet berusia 32 tahun itu dikasari sedemikian sebelum memulakan pertarungan menentang Szofi Ozbas dari Hungary dalam pusingan 32 kategori 63 kilogram (kg).
Tindakan tersebut berlaku ketika Trajdos di tepi gelanggang apabila Pusa dilihat menggoncangkan seluruh badan sebelum menampar kedua-dua belah pipi anak buahnya itu.
Trajdos, yang juga juara Eropah 2015 kemudian mengangguk dan memasuki gelanggang untuk pertarungannya, namun tewas dalam aksi tersebut.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019 itu bagaimanapun mempertahankan tindakan jurulatihnya sambil menegaskan ia sebahagian rutin sebelum dia memulakan pertarungan.
“Ini yang saya minta daripada jurulatih, jadi tolong jangan salahkan dia. Saya perlukannya (dikasari) sebelum bertarung supaya bertenaga.
“Bagaimanapun saya fikir ia belum cukup kuat (selepas kalah). Saya berharap saya dapat membuat tajuk utama yang berbeza hari ini.
“Seperti yang telah saya katakan, itulah rutin yang saya pilih sebelum pertandingan.
“Jangan bimbang, jurulatih saya hanya melakukan apa yang saya mahu,” katanya menerusi Instagram. – AGENSI