PETALING JAYA: Jangan tertekan, fokus untuk ‘menewaskan diri sendiri’ dan nikmati pengalaman hebat beraksi dalam Sukan Olimpik buat kali pertama.
Itu pesanan jurulatih gimnastik kebangsaan, Nataliya Sinkova kepada Farah Ann Abdul Hadi yang akan memulakan perjuangan dalam saingan kelayakan all-around wanita hari ini.
Selepas seorang lagi gimnas negara, Jeremiah Loo gagal meraih tiket pusingan akhir lelaki, tumpuan terarah kepada Farah Ann untuk memahat sejarah.
“Farah Ann seorang yang kuat berusaha dan tidak mudah berputus asa. Kami tahu ramai meletakkan harapan kepadanya.
“Bagi saya, cukuplah dia memberi aksi terbaik dan melakukan rutin dengan kemas, selain kurang kehilangan mata.
“Musuh utama dia adalah dirinya sendiri. Jika dia mampu lawan diri sendiri maka saya berpuas hati,” katanya.
Kata Sinkova, latihan di Pusat Gimnastik Ariake berjalan baik dan Farah Ann sangat bersemangat untuk beraksi.
Farah Ann, 27, berada dalam Kumpulan 4 bersama Giulia Steingruber dari Switzerland, Oksana Chusovitina dari Uzbekistan, Lihie Raz Israel dan Luciana Alvarado dari Costa Rica.
Steingruber satu-satunya gimnas dalam kumpulan itu yang memenangi pingat Olimpik, iaitu gangsa ketika di Rio 2016.
Sementara itu, harapan Jeremiah untuk ke final all-around individu tertutup selepas menamatkan Kumpulan 1 di kedudukan ke-19 dengan 67.498 mata.
“Jeremiah sudah melakukan yang terbaik. Meraih tiket Olimpik pada saat akhirnya memerlukan dia menjalani latihan hebat dalam tempoh singkat.
“Ini pengalaman amat bagus buatnya,” kata jurulatih Jeremiah, Ng Shu Liang.