Diaz inspirasi 6 atlet angkat berat remaja Malaysia - Utusan Malaysia

Diaz inspirasi 6 atlet angkat berat remaja Malaysia

TUN Mohd. Ali Mohd. Rustam (dua, kiri) memberi kata-kata semangat kepada sebahagian daripada enam atlet remaja yang dilatih Ahmad Janius Abdullah (kiri) di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Rumah yang didiami Hidilyn Diaz untuk melakukan persiapan sebelum memenangi pingat emas Sukan Olimpik kini dijadikan tempat latihan buat enam atlet remaja angkat berat berusia antara 12 hingga 20 tahun yang mahu menyerap semangat bintang Filipina itu.

Mereka kini mendiami rumah milik Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah dan menjalani latihan di garaj kereta di Kampung Kesang Tua dekat sini.

Kata Ahmad Janius, sejak Diaz merangkul pingat emas dalam kategori 55 kilogram (kg) di Sukan Olimpik Tokyo 2020, ia mendorong enam atlet remaja yang dilatihnya untuk mengikut jejak atlet tersebut.

“Mereka bersemangat melihat kesungguhan atlet Filipina itu dan mengapa tidak mereka melakukannya.

“Lebih menggembirakan apabila Diaz bagi tahu dia akan datang ke kampung ini selepas berakhirnya Sukan Olimpik di Jepun nanti,” ujarnya semalam.

Kejutan buat Ahmad Janius dan enam anak didiknya apabila Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Hasan Rahman berkunjung melihat garaj kereta yang dijadikan tempat latihan atlet Filipina sepanjang 11 bulan lalu.

Katanya, enam atlet tersebut ialah Nur Atikah Mahamad Sabri, 20; Ahmad Fadhil Ahmad Janius, 20; Nur Batrisya Yaakop, 16; Muhammad Daniel Yaakob, 14; Muhammad Izzul Hakimi, 14 dan Nurul Syasya Khairina Samsur, 12.

“Saya kini buat persiapan menghadapi Sukan Komanwel di Birmingham tahun depan.

Jika Diaz boleh lakukan mengapa tidak saya. Menjalani latihan di kampung cukup mengujakan jauh dari kesibukan kota di Kuala Lumpur,” kata Nur Atikah yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Nur Batrisya pula, masanya masih panjang untuk dia mempersiapkan diri untuk menjadi atlet angkat berat wanita tersohor negara.

“Atlet Filipina ini sebenarnya menguatkan azam saya untuk gigih berlatih dari segi mental dan fizikal dan tidak mustahil mampu meraih pingat di Sukan Olimpik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya