LONDON: Itali berdepan kebimbangan Covid-19 dua hari menjelang final Euro 2020 menentang England apabila tiga petugas media pasukan disahkan positif di ibu pejabat mereka hari ini.
Pasukan terus memperketatkan gelembung dan menjalankan beberapa ujian untuk memastikan tiada pemain mahupun kakitangan lain dijangkiti virus berkenaan.
Kem latihan mereka di Coverciano, Florence juga ditutup serta merta dan pasukan pembersihan dibawa untuk melakukan sanitasi ke atas semua kemudahan skuad Azzurri.
Sumber Persatuan Bola Sepak Itali berkata ‘ini bukanlah persiapan yang ideal dan kami akan pastikan tiada yang dijangkiti.’.
“Peluang untuk jangkitan adalah kecil tetapi kami mahukan kepastian.
“Ini bermakna sesi latihan dengan kehadiran media dibatalkan dan kami akan membuat perancangan yang lain,” kata sumber berkenaan.
Tiga individu tersebut adalah petugas stesen TV RAI yang terdiri daripada seorang wartawan dan dua juruteknik. Mereka dipercayai dijangkiti virus berkenaan ketika berada di London.
Dua didapati positif di London sebelum membuat liputan aksi separuh akhir menentang Sepanyol manakala seorang lagi positif selepas kembali ke kem latihan Coverciano.
Difahamkan, pengendali, Robert Mancini dan semua pemain sudah menerima suntikan vaksin. – AGENSI