LONDON: Selepas memasuki saingan separuh akhir (tidak termasuk perlawanan England-Denmark), 137 gol telah dihasilkan dalam 49 perlawanan sepanjang Euro 2020, 27 gol mengatasi jaringan keseluruhan edisi 2016.
Sepanyol yang tersingkir pada separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti meledak 13 gol, rekod jaringan tertinggi mereka dalam satu kejohanan, diikuti Itali 12.
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan Patrik Schick dari Republik Czech mengetuai senarai penjaring terbanyak Euro 2020 dengan berkongsi lima gol.
Pemain dari Bundesliga menjadi peyumbang terbesar jaringan dalam kejohanan kali ini menerusi 29 gol, diikuti Serie A (Itali) 27 gol, Liga Perdana Inggeris (England) 24 gol, La Liga (Sepanyol) 13 gol dan Ligue 1 (Perancis) lapan. – AGENSI
5 LIGA PENYUMBANG UTAMA GOL
BUNDESLIGA
LIGA JERMAN menguasai carta jaringan dengan 29 gol daripada 89 pemain mewakili liga itu di Euro 2020.
Schick yang meledak lima gol adalah bintang Bayer Leverkusen. Penyerang Sweden, Emil Forsberg yang beraksi buat RB Leipzig menyumbang empat go, manakala Robert Lewandowski (Bayern Munich) dengan tiga gol.
SERIE A
SERIE A berjaya memintas Liga Perdana Inggeris dalam Euro 2020 dari seri jaringan.
Ronaldo menjadi penyumbang terbesar buat liga Itali itu dengan lima gol sebelum Portugal kalah kepada Belgium di pusingan 16 akhir.
Pemain Serie A lain yang menyerlah termasuk Romelu Lukaku (Belgium) dengan empat gol, diikuti Alvaro Morata (Juventus, Sepanyol) tiga jaringan.
LIGA PERDANA INGGERIS
SERAMAI 119 pemain dalam Euro 2020 beraksi di Liga Perdana, itu bermakna liga utama England tersebut mempunyai paling banyak wakil pada kejuaraan Eropah.
Duo England, Raheem Sterling (Manchester City) dan Harry Kane (Tottenham) mengetuai senarai dengan tiga gol (sebelum pertemuan menentang Denmark), selain Xherdan Shaqiri (Liverpool) yang meledak tiga jaringan buat Switzerland.
LA LIGA
DARIPADA 42 pemain La Liga yang beraksi, bintang Real Madrid, Karim Benzema paling menyerlah dengan meledak empat gol, termasuk dua ketika Perancis menentang berdepan Portugal.
LIGUE 1
PENYERANG Denmark, Kasper Dolberg yang beraksi untuk Nice meledak tiga gol, termasuk dua ketika pasukannya membenam Wales 4-0.