Bos Gaurus jadi 'lauk' Harimau Selatan - Utusan Malaysia

Bos Gaurus jadi ‘lauk’ Harimau Selatan

PEMAIN JDT, Safawi Rasid dikawal ketat dua pertahanan Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam. ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dalam tempoh seminggu, Perak dua kali dibelasah 5-0, kali ini giliran Johor Darul Ta’zim (JDT) menghukum anak-anak buah Chong Yee Fatt dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Sabtu lalu, Bos Gaurus turut dibenam 5-0 oleh Terengganu FC, namun keadaan nampak sedikit reda selepas mereka seri 0-0 dengan Kuala Lumpur City (KL City), Selasa lepas.

Satu lagi kekalahan besar memberi tamparan hebat buat pasukan itu dalam misi menyelamatkan diri dari terjerumus ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga kedua tercorot liga.

JDT sebaliknya kian menghampiri kejuaraan Liga Super kelapan berturut-turut selepas mengukuhkan kedudukan pendahulu kepada sembilan mata mengatasi Terengganu yang akan turun menentang Sabah esok.

Penyerang sensasi, Bergson Da Silva muncul wira Johor JDT apabila meledak hatrik iaitu hatrik pertama buat pemain berusia 30 tahun itu bersama Harimau Selatan, sekali gus menambah jaringan peribadinya kepada 16 gol musim ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan terus selesa di persada liga selepas mengutip 39 mata menerusi 16 perlawanan.

BERGSON Da Silva meledak hatrik keitka membantu JDT membelasah Perak FC 5-0. – IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS

Pasukan tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga sebaik minit pertama hingga memaksa pasukan lawan untuk bermain lebih banyak bertahan bagi mengelakkan gawang dibolosi.

Percubaan pertama JDT ke arah gol lawan menerusi percubaan Gonzalo Cabrera yang melepaskan rembatan luar kotak berjaya ditangkap kemas penjaga gawang, Muhammad Azri Ghani.

Kubu ampuh skuad The Bos Gaurus yang banyak bertahan di gawang sendiri itu akhirnya bocor hasil jaringan Bergson pada minit ke-19.

Pemain kelahiran Brazil itu bijak menerima jolokan Cabrera sebelum bertindak lincah melepasi kawalan Charles William dan Mohamad Idris Ahmad sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol.

Bersambung babak kedua, Bergson tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-47 bagi menambah derita kepada pasukan bimbingan Chong Yee Fatt.

Gerakan yang dimulakan oleh Safawi Rasid di bahagian sayap kanan melepasi kawalan pemain bek lawan sebelum melorong bola kepada Bergson yang bijak memanfaatkan hantaran tersebut.

PERTAHANAN JDT, Matthew Davies (kiri) bersaing dengan Perak FC, Muhammad Adib pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Tersentak jaringan awal di babak kedua itu, Yee Fatt membuat pertukaran untuk cuba bangkit pada perlawanan itu.

Namun begitu, pasukan JDT terus menambah duka buat pasukan Perak apabila Bergson melengkapkan hatrik apabila bijak memanfaatkan hantaran lintang Afiq Fazail melepasi kawalan K. Pavithran untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-58.

Skuad The Bos Gaurus bagaikan hilang punca itu terus dihukum juara Liga Super tujuh kali itu apabila Cabrera menambah dua gol dalam 10 minit trakhir permainan bagi menghukum pasukan lawan.

Pada minit ke-82, Cabrera melepaskan rembatan deras bagi menewaskan penjaga gol sebelum menyempurnakan sepakan penalti bagi menambah gol peribadinya pada perlawanan itu melengkapkan malam gemilang buat JDT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya