LONDON: Pertahanan Itali, Leonardo Bonucci menjerit di depan kamera televisyen It’s coming to Rome! (Ia pulang ke Rom) sejurus selepas skuad Azzurri menumpaskan England menerusi penentuan sepakan penalti dalam final Euro 2020 hari ini.
Selepas perlawanan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan, ia terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti yang menyaksikan tiga pemain muda England – Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menyempurnakan tendangan.
It’s Coming Home atau Football’s Coming Home adalah lagu tema pasukan bola sepak England, dan dinyanyikan peminat mereka sepanjang kejohanan.
Beraksi di Stadium Wembley, London yang dipenuhi hampir 60,000 penyokong Three Lions, lagu tersebut bergema hampir sepanjang perlawanan.
Hanya beberapa saat selepas sepakan penalti Saka diselamatkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, Bonucci berlari ke arah kamera TV dan menjerit ‘Ia pulang ke Rom, ia pulang ke Rom.”
?? Bonucci: "It's coming to Rome!"@azzurri | #ITA | #EURO2020 pic.twitter.com/ZtDM5xY1xK
— UEFA EURO 2020 (@EURO2020) July 11, 2021
Bintang Juventus itu kemudian mengalihkan fokus untuk meraikan kemenangan bersama rakan-rakan sepasukan.
Pada usia 34 tahun 71 hari, Bonucci juga muncul pemain tertua menjaringkan gol dalam final Kejohanan Eropah.
Jaringannya pada minit ke-67 berjaya memadam kelebihan yang diperoleh England selepas membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Luke Shaw.
Ini adalah kejuaraan Eropah kedua dirangkul Itali, namun yang pertama sejak 1968. – AGENSI