TOKYO: ‘Superstar’ gimnastik Amerika Syarikat (AS), Simone Biles menarik diri dalam acara keduanya pada Sukan Olimpik 2020 iaitu all-around individu wanita demi melindungi kesihatan mental, sekali gus tidak mempertahankan emas yang dimenangi di Rio 2016.
Sehari selepas menarik diri dalam acara berpasukan, gimnas berusia 24 tahun itu mengambil satu lagi keputusan mengejut semalam, dan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukannya dalam aparatus lain.
“Setelah penilaian perubatan lanjut dibuat, Simone Biles telah menarik diri daripada saingan all-around individu akhir Sukan Olimpik Tokyo bagi memberi tumpuan kepada kesihatan mental,” kata Gimnastik USA (USAG).
Tempat Biles, pemenang empat pingat emas Olimpik 2016 dan juara dunia 19 kali digantikan oleh Jade Carey.
“Kami menyokong sepenuh hati keputusan Simone dan memuji keberaniannya dalam mengutamakan kesejahteraannya.
“Keberaniannya menunjukkan sekali lagi, mengapa dia menjadi inspirasi ramai orang,” kata USAG.
Tanpa kehadiran Biles, AS gagal mempertahankan emas acara berpasukan yang dimenangi ROC (Olimpik Rusia) dengan 169. 528 mata.
AS sekadar meraih perak (166.096), manakala gangsa milik Great Britain.
Biarpun sudah memiliki banyak kejayaan dalam kariernya, Biles mengakui, dia sebenarnya gementar setiap kali membuat persembahan.
“Saya tidak lagi mempercayai diri sendiri seperti dulu, saya tidak pasti apakah ia kerana faktor usia. Saya gemuruh bila mahu turun beraksi.
“Sukan Olimpik kali ini amat menegangkan. Secara keseluruhan, tanpa penonton, situasi banyak berbeza.
“Kami melalui proses Olimpik yang panjang, setahun cukup lama (temasya ditunda). Banyak berubah,” katanya. – AGENSI