PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi suntikan semangat kepada 30 atlet Malaysia yang bakal berjuang dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan mendoakan kejayaan mereka sepanjang bertanding pada temasya 23 Julai hingga 8 Ogos itu.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu entri di Instagram yakin, semua atlet negara mampu memberi cabaran kepada atlet terbaik dunia dalam temasya sukan terulung itu.
“Seramai 30 orang atlet negara bakal bertanding dalam 27 acara yang melihatkan 10 jenis sukan.
“Saya yakin atlet-atlet kita mampu berdaya saing dengan para atlet negara lain di persada dunia untuk mencapai kecemerlangan.
“Tahniah juga saya ucapkan kepada YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan atas usaha beliau dalam memastikan kontinjen negara dapat pergi ke Olimpik Tokyo kali ini walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang masih berterusan.
“Bersama-sama kita doakan kecemerlangan untuk atlet-atlet kebangsaan kita di Tokyo. Give it your best and make us proud! (Berikan yang terbaik dan banggakan kami),” katanya.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya, doa yang dititipkan Tunku Ismail akan menjadi tonik tambahan buat seluruh kontinjen negara yang berjuang di bumi Jepun.
“Merafak sembah, menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas perkenan Duli Yang Amat Mulia, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor @hrhcrownprinceofjohor menzahirkan kata-kata semangat kepada para atlet kebangsaan yang bakal bertanding dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Sembah takzim daripada presiden, Lembaga Eksekutif dan pengurusan Majlis Olimpik Malaysia,” tulis MOM dalam satu kenyataan hari ini.
Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan pelepasan kumpulan terbesar kontinjen Malaysia ke Tokyo yang dibarisi 40 anggota, termasuk 18 atlet.