Berdebar, teruja bawa Jalur Gemilang esok - Utusan Malaysia

Berdebar, teruja bawa Jalur Gemilang esok

CHAN Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun bakal membuat penampilan ketiga dalam Sukan Olimpik, namun kemunculan kali ini cukup mendebarkan buat Goh Liu Ying kerana dia akan menggalas tugas membawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Tokyo 2020 esok.

Liu Ying, 32, mengakui, mengetuai perbarisan kontinjen Malaysia di Stadium Olimpik Tokyo memberi perasaan bercampur baur iaitu berdebar, namun dalam masa sama teruja.

Pemain badminton kelahiran Melaka itu tidak akan berseorangan, sebaliknya bakal beriringan dengan juara All England, Lee Zii Jia membawa Jalur Gemilang mengelilingi stadium.

“Ini kali pertama saya diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera, jadi ada sedikit tekanan dan perasaan gementar, harap semua berjalan lancar.

“Apa pun, ini satu penghormatan buat saya sepanjang kerjaya sebagai pemain badminton negara,” kata Liu Ying yang memenangi pingat perak beregu campuran bersama Chan Peng Soon dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Tiba bersama kontinjen terbesar Malaysia di Tokyo, Ahad lalu, Liu Ying berkata, dia juga sudah berpeluang menguji gelanggang pertandingan di Plaza Sukan Musashino Forest.

Liu Ying turut berkongsi pengalaman empat hari berada dalam Perkampungan Olimpik yang terletak di Harumi, Futo, Liu Ying dengan mendedahkan tempat paling digemari setakat ini adalah dewan makan kerana menghidangkan makanan yang enak.

“Saya rasa paling ‘enjoy’ adalah makanan di kantin (dewan makan). Namun, dengan situasi semasa pandemik Covid-19, kami perlu berhati-hati dan sentiasa menjaga diri,” katanya.

Peng Soon-Liu Ying akan memulakan aksi di Olimpik Tokyo kali ini menentang pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dalam saingan Kumpulan D, Sabtu ini.

Pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dan beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich turut diundi dalam kumpulan sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya