MADRID: Pengendali Barcelona, Ronald Koeman gembira dengan aksi positif dipamerkan skuad bimbingannya dalam aksi pramusim dengan kemenangan 4-0 ke atas Gimnastic di Estadi Johan Cruyff kelmarin.
Penyerang Albania, Rey Manaj yang tidak pernah diberikan peluang turun beraksi dalam perlawanan kompetitif bersama Barca dan dijangka berhijrah musim panas ini, menjaringkan hatrik kedua dalam aksi persahabatan di hadapan 2,000 penyokong.
Satu lagi gol dijaringkan Alex Collado dalam perlawanan yang berlangsung sengit, di mana Barca terpaksa menunggu sehingga lima minit terakhir untuk memperolehi tiga gol.
Koeman menurunkan pemain seperti Sergino Dest, Gerard Pique, Miralem Pjanic, Sergi Roberto, Riqui Puig dan Samuel Umtiti pada permulaan permainan.
Pemain baru, Yusuf Demir yang dibawa dari Rapid Vienna dan disifatkan sebagai ‘Messi Austria’ turut diberikan peluang beraksi dalam 45 minit pertama.
“Yang penting adalah hampir semua orang telah bermain selama 45 minit, ini adalah sesuatu yang penting bagi aspek fizikal.
“Kami mendominasi dan kami mendapat hasil yang baik. Perlawanan ini meninggalkan perasaan positif.
“Pemain saya telah kembali dengan baik. Mereka juga berlatih dengan bersungguh-sungguh ini semua mengenai kecergasan. Dengan dua pasukan yang berbeza, setiap orang berpeluang menunjukkan kualiti,” katanya kepada Barca TV. – AGENSI