Bach tak lena fikirkan Olimpik Tokyo - Utusan Malaysia

Bach tak lena fikirkan Olimpik Tokyo

THOMAS BACH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: ‘Kesangsian’ dan ‘malam tanpa tidur’ menghantui Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach kerana terlalu memikirkan tentang Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang bakal membuka tirai Jumaat ini selepas setahun tertunda akibat pandemik Covid-19.

Pelbagai bantahan dan kebimbangan akibat penularan Covid-19 juga menyebabkan edisi ke-32 temasya itu tidak popular dalam kalangan Rakat Jepun.

Bercakap dalam sesi IOC di Tokyo hari ini, tokoh sukan kelahiran Jerman itu mengakui, penangguhan temasya  yang belum pernah berlaku sebelum ini membuktikan ia lebih rumit daripada yang dijangka.

Persiapan untuk upacara pembukaan Jumaat ini juga berdepan sedikit masalah dengan Tokyo masih dalam situasi darurat dan pandangan umum menentang penganjuran temasya itu yang berlangsung tanpa kehadiran penyokong.

SEMUA venue sudah bersedia untuk digunakan sepanjang temasya 23 Julai hingga 8 Ogos.

“Dalam tempoh 15 bulan ini, kami mengambil banyak keputusan tanpa sebarang kepastian. Kami ada kesangsian setiap hari. Kami berbincang panjang sampai ada yang tidak tidur.

“Tanggungjawab di tangan kami, di tangan saya tapi untuk tiba sehingga ke hari ini, kita perlu yakin dan menunjukkan ada jalan untuk keluar daripada krisis ini,” kata Bach, yang merupakan bekas pemenang pingat emas Olimpik dan juara dunia dalam sukan lawan pedang.

ATLET sudah memulakan latihan sejak tiba di Jepun beberapa hari lalu.

Lawatan Bach ke Jepun turut mencetuskan protes apabila pungutan suara yang dianjurkan akhbar berpengaruh, Asahi Shimbun menyaksikan 55 peratus responden membantah penganjuran temasya berkenaan.

Empat individu didapati positif di Perkampungan Olimpik, sekali gus menimbulkan kebimbangan kerana ribuan lagi atlet, pegawai serta media akan hadir dalam masa terdekat. Ia dikhuatiri meningkatkan bilangan kes di negara itu.

Pegawai Jepun dan Olimpik mempertahankan penganjuran sukan yang diadakan dalam ‘gelembung’ ketat dan ujian dijalankan pada setiap hari.

SELEPAS berdepan pelbagai kesukaran akibat pandemik Covid-19, Tokyo 2020 akan dibuka secara rasmi, Jumaat ini.

“Kita sudah menemui sinar. Pembatalan tidak pernah menjadi pilihan kami. IOC tidak akan mengabaikan atlet kerana kami melakukannya demi atlet.

“Upacara pembukaan akan berlangsung tanpa iringan muzik daripada Keigo ‘Cornelius’ Oyamada yang menarik diri selepas desakan orang ramai susulan temubual yang menggambarkan dia membuli rakan sekolahnya yang kurang upaya.

“Saya sedar bahawa dengan menerima tawaran untuk penyertaan muzik di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, ia tidak mengambil kira pandangan ramai pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Penaja utama, Toyota juga menarik diri daripada menjalankan kempen jenama yang berkaitan dengan Sukan Olimpik apabila pegawai kanannya menyifatkan Sukan Olimpik kurang ‘memahami’ pandangan umum. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya