ROME: Dari legenda Jerman, Jurgen Klinsmann, jurulatih terhebat, Jose Mourinho sehinggakan penerima pertaruhan. Kebanyakannya memilih Itali akan menumpaskan Sepanyol dalam separuh akhir Euro 2020 esok.
Biarpun Sepanyol turun dengan reputasi juara tiga kali dan Itali pula gagal ke Piala Dunia 2018, selain sudah 53 tahun tidak mendakap kejuaraan Eropah, namun prestasi konsisten anak-anak buah Roberto Mancini meletakkan mereka sebagai calon juara.
ITALI PILIHAN JUARA
Mancini memiliki bahagian tengah terbaik berbanding jurulatih lain dalam Euro 2020. Dari Jorginho, Marco Verratti dan Nicolo Barella, semua cemerlang, begitu juga pemain simpanan, Manuel Locatelli yang mudah mendapat rating ‘5 bintang’ bila-bila masa dibawa masuk.
Sekalipun jarang disenarai dalam kesebelasan utama, Locatelli membuktikan dia mampu merubah taktikal Azzurri dalam sekelip mata sebaik saja dimasukkan.
Selain mampu menguasai permainan dengan baik dan memberi tekanan tanpa henti, Itali memiliki barisan seimbang dari skuad utama hingga pemain simpanan.
SERANGAN MENGANCAM
Lorenzo Insigne antara penyerang terbaik Euro 2020, dan jaringannya menentang Belgium membuktikan betapa bahaya bintang Napoli berusia 30 tahun itu.
Bagaimanapun daripada 11 gol yang dihasilkan dalam lima aksi Euro, Itali memiliki enam penjaring berbeza. Insigne, Locatelli, Ciro Immobile dan Matteo Pessina masing-masing meledak dua gol.
Turut mencetak nama sebagai penjaring Barella dan Federico Chiesa.
“Kami mengharungi perlawanan hebat setakat ini, namun semua hasil kerja keras jurulatih dua tahun lalu. Idea dan kesabarannya membawa kami ke tahap ini,” kata Chiesa.
Itali juga katanya memburu keputusan terbaik untuk dihadiahkan buat pertahanan, Leonardo Spinazzola yang terpaksa disisihkan setahun akibat koyak Achilles Tendon ketika menentang Belgium di suku akhir.