TOKYO: Selepas mencatat masa peribadi terbaik ketika melepasi saingan awal, Azreen Nabila Alias gagal mengulangi larian baiknya pada pusingan pertama 100 meter wanita Sukan Olimpik Tokyo sebentar tadi.
Pelari muda kelahiran Terengganu itu menamatkan saringan keenam dengan catatan 11.91 saat untuk menduduki tangga terakhir daripada tujuh pelumba.
Membuat penampilan sulung Sukan Olimpik atas tiket wildcard (jemputan), Azreen sebelum itu melepasi pusingan awal dengan catatan masa peribadi terbaik 11.77s.
Catatan 11.91s yang dicatat Azreen meletakkannya di tangga ke-52 daripada 54 peserta keseluruhan.
Sementara itu, perjuangan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berakhir dengan mengecewakan apabila gagal melepasi ketinggian 2.17m.
Pada saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Hup Wei gagal melepasi ketinggian pertama yang ditetapkan dalam ketiga-tiga percubaannya sekali gus tidak dapat meneruskan cabaran.
Hup Wei, 34, seharusnya tidak berdepan masalah melepasi catatan awal berkenaan berdasarkan catatan peribadi terbaik dimilikinya 2.29m.
Ini adalah penampilan ketiga pemenang pingat emas Sukan SEA empat kali itu di pentas Olimpik selepas di Beijing 2008 dan London 2012.