PETALING JAYA: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang merangka lebih daripada 10 strategi menjelang temasya Sukan Olimpik 2020 dalam misi membawa pulang pingat buat Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Atlet kelahiran Terengganu tersebut, menyifatkan dia bersedia untuk menghadapi situasi mencabar sewaktu memulakan kayuhan di Velodrome Izu di Shizuoka pada 4 hingga 8 Ogos depan.
“Apa yang saya boleh katakan, tiada strategi khusus kerana dalam acara keirin ini kita perlu ada banyak perancangan bukan satu sahaja tetapi mungkin lima hingga 10 strategi berbeza kerana dalam perlumbaan itu kita tidak tahu apa yang berlaku.
“Mungkin kita boleh kawal keadaan diri dan kawal strategi yang kita nak gunakan tetapi disebabkan kita berdepan enam pelumba di final, kita tidak tahu apa strategi yang akan digunakan lawan.
“Sebab itu penting untuk kita ada banyak strategi dan saya akan bersedia kerana sukan berbasikal ini bukan macam sesetengah sukan. Kalau kalah satu mata kita boleh kejar semula.
“Sukan berbasikal ini perlu reaksi yang cepat dan strategi itu sudah ada dalam fikiran saya ketika ini,” katanya menerusi sidang akhbar dalam talian semalam.
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman juga mengakui telah meningkatkan berat badan untuk memastikan mampu melakukan henjutan lebih daripada 100 peratus di Tokyo nanti.
“Ketika ini apa yang membezakan saya sewaktu di Olimpik nanti adalah faktor fizikal.
“Saya cuba menambah berat badan untuk meningkatkan kuasa henjutan. Apabila kuasa henjutan tinggi kita boleh gunakan gear yang besar untuk mengejar pelumba Eropah yang mempunyai fizikal besar.
“Saya dah buat persiapan tersebut dan apa juga cabaran yang menanti di Sukan Olimpik Tokyo, saya sudah bersedia,” ujarnya.