LONDON: Itali jauh lebih sukar dan kuat, namun keazaman untuk mengakhiri penderitaan 55 tahun menjadi motivasi England apabila berdepan skuad Azzurri dalam perlawanan akhir Euro 2020, Isnin ini.
Selama 55 tahun iaitu sejak kali terakhir mereka menjuarai Piala Dunia 1966, England sering diperlekeh, malah peminat mereka diejek setiap kali menyanyi lagu tema pasukan It’s Coming Home kerana tiada trofi berjaya dibawa pulang.
Bagaimanapun semalam, Gareth Southgate tersenyum apabila mendengar siulan lagu ‘Sweet Caroline’ daripada penonton yang membanjiri Stadium Wembley sejurus selepas England menyingkirkan Denmark 2-1 pada separuh akhir.
“Mereka sangat gembira bukan? Penyokong telah membangkitkan semangat kami dan saya bangga menjadi sebahagian daripada semua ini. Kami boleh berseronok dengan kejayaan mara ke final, namun harus diingat halangan lebih getir bakal menanti.
“Itali pasukan yang amat bagus, ia sudah terserlah sejak beberapa tahun lalu. Mereka menunjukkan persembahan luar biasa, malah memiliki pertahanan ampuh. Perlawanan besar yang harus diberi dihadapi.
“Bagaimanapun masuk final untuk menjadi juara. Kami harus segera berehat, mengembalikan tenaga dan merencanakan perancangan untuk perlawanan akhir,” kata Southgate.
Gol Harry Kane di masa tambahan membolehkan England mengenepikan cabaran sengit Denmark, yang terlebih dulu membuka jaringan menerusi sepakan bebas Mikkel Damsgaard pada minit ke-30.
Kesilapan kapten Denmark, Simon Kjaer yang tertolak bola hantaran Bukayo Saka pada minit ke-39 membolehkan England menyamakan kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan berbalas serangan sebaik saja separuh masa kedua bersambung. England lebih agresif, namun Denmark juga memiliki beberapa peluang keemasan.
Semuanya berubah pada minit ke-104 apabila England dihadiahkan sepakan penalti kontroversi selepas Raheem Sterling dijatuhkan pertahanan lawan, Joakim Maehle.
Ketika pasukan Denmark membantah keputusan pengadil dan pengulas bola sepak menganggap penalti tidak harus diberikan kerana sentuhan yang dilakukan terlalu ‘lembut’, Sterling menegaskan, ‘lembut’ atau tidak sentuhan tetap sentuhan dan ia wajar diberi.
“Saya masuk ke dalam kotak penalti dan dia menghulurkan kaki kanan sebelum tersentuh kaki saya, jadi memang jelas sepakan penalti harus diberikan,” katanya.
Sepakan yang diambil Kane ditepis oleh Kasper Schmeichel, namun penjaga gol Denmark itu tidak berpeluang apabila kapten England terus menyambar bola lantun untuk merembatnya ke gawang. – AGENSI