MADRID: Atletico Madrid menolak tawaran Barcelona untuk ‘memulangkan’ bekas penyerang mereka, Antoine Griezmann dan menukarnya dengan Joao Felix.
Kelab Catalan itu mahu melepaskan beberapa bintang bergaji besar seperti Griezmann, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele bagi membolehkan mereka membiayai kos penyambungan kontrak Lionel Messi.
Presiden kelab, Joan Laporte semalam mengulangi keyakinan untuk mengekalkan bintang penyerang Argentina, Messi, 34, yang kini bebas memilih mana-mana pasukan kerana sudah tamat kontrak.
Bagaimanapun dalam masa sama, Barcelona perlu mengimbangi kewangan mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Juara La Liga 26 kali itu meletakkan Griezmann, 30, dalam senarai teratas ‘pemain berprestasi rendah yang menerima gaji tinggi’
Bagaimanapun gaji penyerang Perancis itu yang tinggi menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan pasukan baharu buatnya.
Akhbar Sepanyol, Marca mendakwa Barcelona berminat menawarkan pakej pertukaran dengan Atletico iaitu menukar Griezmann dengan penyerang muda Portugal, Felix.
Bagaimanapun idea tersebut ditolak oleh Atletico yang menyifatkannya sebagai satu ‘gurauan’ kerana Griezmann meninggalkan mereka pada 2019 kerana mengejar ‘impian’ di Barcelona.
Keinginan Barcelona bagaimanapun tidak terhenti di situ. Mereka juga berminat dengan seorang lagi bintang Atletico, Saul Niguez.
Biarpun pemain tengah Sepanyol berusia 26 tahun itu mengakui mahukan cabaran baharu, namun Barca perlu bersaing sengit dengan juara Eropah enam kali, Liverpool yang sudah mengorak langkah untuk mendapatkannya.
Kecederaan lutut yang dialami Dembele ketika menggalas tugas bersama Perancis dalam Euro 2020 menyukarkan lagi kedudukan Barcelona.
Dalam keadaan pemain itu cedera panjang, pasti sukar buat mereka melepaskan pemain itu, namun Barcelona mungkin menerima perkhabaran gembira daripada Marseille yang sedang mencari penajaan untuk mendapatkan Coutinho. – AGENSI