LONDON: Pasangan emas Great Britain, Jason Kenny dan Laura Kenny mengakui agak bimbang untuk menyertai Sukan Olimpik 2020 Tokyo kerana terpaksa meninggalkan anak mereka, Albie.
Kenny, 33, pemenang enam pingat emas Olimpik yang bakal menjadi pencabar utama jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin serta pecut mengakui, ini kali pertama dia dihimpit dilema.
“Hidup saya telah berubah sejak di Rio. Selalunya saya teruja untuk menyertai Olimpik, namun kali ini saya agak gementar kerana perlu meninggalkan Albie.
“Sudah tentu penyertaan kali ini sangat berlainan. Kami bernasib baik kerana Albie mempunyai dua datuk serta nenek yang boleh menjaganya.
“Kami juga beruntung kerana kedua-dua ibu bapa kami teruja untuk menjaganya.
“Mereka sudahpun menyiapkan bilik tidur Albie. Mereka sangat gembira,” kata Kenny.
Pada Sukan Olimpik 2016, Kenny membawa pulang tiga pingat emas menerusi keirin dan pecut individu, selain pecut berpasukan.
Dia juga meraih dua emas di London 2012 (pecut individu, berpasukan) serta sebutir emas di Beijing 2008 (pecut berpasukan).
Laura, 29, pula memenangi dua pingat emas di Rio dalam omnium dan kejar-mengejar berpasukan, selain dua pemas di London 2012 menerusi acara sama.
Pasangan tersebut berkahwin pada September 2016 dan dikurniakan cahaya mata, Albie pada Ogos 2017.
Dalam pada itu, Laura berkata, dia akan ‘curi-curi’ menghubungi anaknya memandangkan perbezaan zon waktu yang amat ketara di antara Jepun dengan Britain.
“Saya tidak fikir Albie faham tentang Olimpik tapi dia tahu pelumba basikal perlu mencuba untuk menang.
“Dia tahu saya memiliki basikal kerana apabila saya keluar, saya akan tanya warna basikal yang saya tunggangi.
“Dia akan tinggal bersama datuk neneknya dan saya harap dia selesa. Saya bersyukur. Tokyo menjadi cabaran baharu buat saya kerana perbezaan zon masa. Bagaimanapun saya akan cuba menghubunginya sekerap yang mungkin.
“Dia membuat saya lebih tenang. Apabila pulang nanti, Albie hanya tahu ibunya sudah pulang tanpa memahami perkara sebenar,” katanya.– AGENSI