IPOH: Kuala Kangsar FC (KK FC) tidak terjejas dengan penarikan diri Yayasan Hadi yang diterajui pelakon terkenal, Datuk Adi Putra sebagai penaja kelab itu dalam Liga M3 musim ini.
KKF FC mendakwa, ini kerana yayasan itu tidak pernah menunaikan janjinya untuk mencari dana bagi menaja kelab.
KK FC dalam kenyataan medianya berkata, sehingga kini tiada apa-apa langsung sumbangan dari Yayasan Hadi walaupun RM1.
Sebaliknya, kata kenyataan itu, kelab itu telah mengeluarkan sebanyak RM700,000 tanpa menggunakan sumbangan dari penajaan Yayasan Hadi.
“Justeru KK FC berpendapat tidak perlu ada penarikan kerana perjanjian secara lisan itu terbatal dengan sendiri berikutan persetujuan awal tidak dapat dipenuhi dan tiada pencabulan hak dari pihak Kuala Kangsar FC,” kata kenyataan KKFC itu .
Kenyataan KK FC itu sebagai membidas kenyataan yang dibuat oleh Adi Putra selaku Pengarah Urusan Yayasan Hadi mengenai penarikan diri pertubuhan itu sebagai penaja KK FC yang tular dalam Facebook dan Instagram, kelmarin.
Adi Putra, 40, atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim yang juga selebriti ternama tanah air mengesahkan perkara itu melalui kenyataan media rasmi bagi pihak Yayasan Hadi yang dikongsikan di laman Instagram peribadinya.
Selebriti terkenal negara itu mendakwa menarik tajaan kerana berlaku pemalsuan dokumen .
Pemalsuan itu berhubung dua surat tawaran menggunakan kepala surat sekali gus mewakili Yayasan Hadi bagi projek membaikpulih Surau Al Fallah USJ 10 Subang Jaya, Selangor serta projek membekalkan komputer riba.
Sebaliknya, KK FC berpendapat kenyataan itu semata-mata bertujuan untuk mengaibkan nama kelab dan individu-individu yang terlibat.
“Perkara ini tidak menjejaskan sama sekali pembayaran gaji pemain-pemain KK FC dan aktiviti-aktiviti bola sepak kelab ini setakat ini, ” kata kenyataan itu lagi.
Adi Putra melalui Yayasan Hadi secara rasmi diumumkan sebagai penaja utama KK FC dalam satu majlis makan malam serta tandatangan kontrak Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri dengan kelab itu di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar pada 5 Mac lalu.
Selain penajaan, Adi sendiri turut berperanan sebagai duta pasukan KK FC. – UTUSAN