30 wira galas harapan tinggi 32 juta rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

30 wira galas harapan tinggi 32 juta rakyat Malaysia

ISMAIL Sabri Yaakob memberi amanat kepada 30 atlet negara yang bakal menggalas cabaran dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam Majlis Amanat Perdana semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semangat 32 juta rakyat Malaysia mengiringi atlet negara yang bakal beraksi di Olimpik Tokyo 2020, dan biarpun belum ada sasaran diumumkan, namun harapan yang digalas mereka untuk membutirkan pingat amat tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Amanat Perdana kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik semalam berkata, rakyat negara ini bukan saja mengimpikan Jalur Gemilang berkibar di Tokyo, malah lagu Negaraku berkumandang.

“Kita di pihak kerajaan sudah cuba memberi ruang terbaik kepada mereka (atlet) melakukan latihan dalam suasana pandemik Covid-19. Mereka dibenarkan berlatih secara berpusat sejak beberapa bulan lalu.

“Saya harap peluang itu digunakan sepenuhnya untuk melengkapkan diri bagi bertarung di Tokyo dan meraih kemena­ngan.

“Harapan kita sebenarnya amat tinggi untuk melihat kontinjen Malaysia meraih ­kejayaan.

“Bagaimanapun untuk perincian (sasaran), saya rasa Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Nainal Merican) lebih tahu apa yang telah dilakukan oleh atlet serta persiapan mereka dalam memburu kejayaan,” katanya semalam.

Majlis yang diadakan secara maya itu turut dihadiri Reezal Merican, Presiden Majlis ­Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Lee Chong Wei.

Malaysia akan diwakili 30 atlet dalam 27 acara membabitkan 10 jenis sukan sepanjang temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sukan Olimpik Rio 2016 me­nyaksikan kontinjen negara me­lakar pencapaian terbaik dalam sejarah dengan meraih empat perak dan satu gangsa.

“Pesanan saya, perjuangan di Sukan Olimpik bukanlah untuk mencipta pencapaian diri semata-mata, sebaliknya kejayaan membawa pingat emas atau apa apa pingat adalah kebanggaan buat negara.

“Saya amat yakin dengan kemampuan anda semua. Berjuanglah berhabis-habisan demi memastikan nama negara subur dan harum di persada antarabangsa. Selamat berjuang buat kontinjen Malaysia,” kata Ismail Sabri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya