KOTA BHARU : Bekas tonggak Sabah FC, Mohd. Zubir Azmi tekad menjulang nama Kelantan FC dalam aksi pusingan kedua Liga Perdana 2021 dengan memperagakan aksi cemerlang membantu The Red Warriors (TRW) meraih kemenangan pada setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.
Zubir berkata, dia menerima ‘lamaran’ itu kerana yakin TRW mampu melangkah lebih jauh dalam saingan liga berpandukan kepada ramuan pemain yang dimiliki selain persembahan cukup baik pada pusingan pertama lalu.
“Terima kasih kepada pengurusan Kelantan FC yang sudi melamar dan mengikat saya untuk bersama TRW dalam mengharungi baki saingan Liga Perdana musim ini.
“Kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan akan saya balas sebaik mungkin dengan membantu pasukan meraih kemenangan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh laman rasmi TRW Kelantan FC semalam.
Anak kelahiran Terengganu itu memberitahu, segala pengalaman yang dimiliki sebagai pemain bola sepak profesional akan dikongsikan sebaik mungkin bersama ‘ubi muda’ TRW bagi memastikan ‘mood‘ kebangkitan pasukan dapat diterjemahkan pada pusingan kedua nanti.
Katanya, dia berharap barisan ‘pemain ke-12’ TRW dapat memberikan sokongan padu kepada Kelantan FC dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.
“Sokongan ‘pemain ke-12′ menjadi azimat berguna buat saya untuk beraksi dengan lebih konsisten dalam setiap perlawanan.
“Tanpa sokongan padu anda (pemain ke-12’ siapalah kami. Jadi bantulah kami dengan memberikan sokongan tidak putus-putus kepada Kelantan FC,” ujarnya.
Selain Zubir, Kelantan FC turut membawa masuk bekas pemain tengah UKM FC Syed Sobri Syed Mohamad pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi memperkasakan lagi ‘sengat’ pada TRW.
Kejutan paling besar dilakukan oleh TRW apabila membawa masuk Mohd. Shahrul Abert yang sebelum ini beraksi bersama Zamsaham FC.