IPOH: Bola sepak Perak sekali lagi mendapat perhatian tetapi untuk sebab yang salah.
Ini berikutan tindakan seorang pemain dari Korea Selatan yang menyaman Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hampir RM500,000.
Justeru, sama ada Pafa atau Perak FC kena menanggung saman yang dibuat melalui Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Penerimaan surat saman bertarikh 18 Jun itu pasti menambah satu lagi masalah dalam bola sepak Perak.
Kes itu melibatkan pemain dari Korea Selatan, Jeon hyo-seok yang datang untuk sesi uji bersama Perak pada 2019.
Hyo-seok dikatakan sudah memeterai ikatan dengan Pafa tetapi tidak jadi diambil selepas didapati mengalami kecederaan.
Berikutan itu, pemain itu membawa kes kepada FIFA dan badan induk bola sepak dunia tersebut menuntut Pafa membayar tuntutan berjumlah hampir RM500,000
Begitupun menurut sumber Pafa, persatuan itu tidak memeterai sebarang kontrak dengan Hyo-seok selepas mendapati dia mengalami kecederaan.
“Ini kes lama, dia cuba menipu Pafa dengan menyembunyikan kecederaan.
“Masa datang, dia dah cedera, sebab itu dia berdalih setiap kali disuruh berlatih.
“Apabila pafa membuat pemeriksaan rapi melalui pakar dia sebenarnya membawa kecederaan lama, justeru Pafa tidak tanda tangan sebarang kontrak dengannya.
“Sebaliknya pemain itu sendiri menandatangani salinan kontrak yang diberikan untuk rujukan dan kemudian menggunakanya untuk membuat tuntutan itu,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia semalam.
Katanya, kes itu sepatutnya didengari di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland selepas Pafa turut mengemukakan hujah melalui affidavit tetapi kes tidak dapat dibicarakan gara-gara penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Ketika kejadian, persatuan itu diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan Datuk Adly Shah Ahmad Tah sebagai Timbalan Presiden.
Adly juga adalah pengurus pasukan Perak dan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai pengambilan pemain.