KUALA NERUS: Terengganu FC menjadi kelab profesional pertama negara menubuhkan pasukan bola sepak virtual e-sukan menerusi kerjasama dengan E-Sukan Malaysia Terengganu (ESMT).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Rasid Jusoh berkata, selain menguruskan operasi pasukan berkaitan e-sukan, pihaknya turut merancang untuk menyertai pertandingan FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES) di samping menjadi penganjur di peringkat antarabangsa secara maya.
“Menerusi usahasama ini, kita berharap dapat memasarkan jenama Terengganu FC secara global sekali gus merancakkan lagi industri e-sukan yang semakin popular ketika ini.
“E-sukan memiliki pasaran yang besar dan berpotensi menjadi punca pendapatan lumayan serta menguntungkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden ESMT, Ahmad Shahrul Nizam Ab. Ghani berkata, kerjasama strategik berkenaan dapat merealisasikan hasrat pihaknya melahirkan lebih ramai atlet e-sukan untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
“Pelbagai rancangan sudah diatur kedua-dua pihak untuk menyertai dan menganjurkan kejohanan melibatkan penyertaan dalam dan luar negara.
“Kita yakin dengan langkah ini dapat memberi situasi menang-menang kepada komuniti e-sukan dan Terengganu FC,” katanya. -UTUSAN ONLINE